Saturday 23 May 2009

Action Research for Exemplary Science Teaching 2

Situasi pengajaran dan pembelajaran sekarang semakin mencabar dimana para guru sering berhadapan dengan dilema tentang cara untuk mempermudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) agar lebih difahami oleh semua pelajar dan menjadikan P&P lebih efektif. Para guru seharusnya dilengkapi dengan pengetahuan isi kandungan mata pelajaran (content knowledge)dan pedagogi (pedagogy knowledge). Pengetahuan isi kandungan guru ditekankan kepada dua jenis pengetahuan isi kandungan iaitu; mengetahui apa (knowing what) dan mengapa (knowing how). Shulman (1986), menekankan bahawa kemahiran pengetahuan isi kandungan dan juga pedagogi (pedagogical content knowledge)haruslah seiring agar dapat menjamin P&P yang berkesan. Oleh itu pemilihan method persembahan pengajaran adalah sangat kritikal agar menjamin perkembangan pemikiran pelajar.
Technological pedagogical content knowledge (TPCK) merupakan satu slogan baru yang merupakan satu faktor yang penting dalam P&P. Ini merujuk kepada perkara yang guru harus tahu tentang teknologi dan strategi arahan efektif serta hubungannya dengan isi kandungan, pedagogi dan teknologi dalam konteks pembelajaran (Niess, 2005). TPCK adalah integrasi antara pengetahuan isi kandungan, perkembangan teknologi dan pengetahuan tentang P&P.
Penekanan pendidikan di Malaysia tertumpu kepada sains dan teknologi dan telah tercatat di dalam visi 2020 negara. Dasar Sains dan Teknologi Negara memberi fokus kepada usaha-usaha meningkatkan keupayaan berdikari dalam bidang saintifik dan teknologi untuk membantu aktiviti ekonomi dengan cara mewujudkan suasana yang baik untuk menggalakkan penciptaan saintifik dan memperbaiki infrastruktur dalam bidang saintifik, pelajaran dan lain-lain bidang yang berkaitan. Oleh itu bidang pendidikan bertanggungjawab melahirkan bukan hanya pelajar yang mempunyai pengetahuan akademik semata-mata tetapi juga pelajar yang mampu mengaplikasikan pengetahuan. Ini hanya boleh dilakukan sekiranya para pelajar dapat menguasai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dan bukan hanya tertumpu kepada menjawab soalan peperiksaan sahaja. Masih terdapat golongan pelajar di sekolah menengah yang kurang kemahiran analitik dan berfikir secara rasional. Tidak dinafikan para guru juga kadangkala memberi kaedah pemecahan data kompleks khusus hanya untuk menjawab soalan peperiksaan tetapi mengabaikan proses pemecahan data secara kreatif dan kritis.
Kurikulum sekolah menengah di Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan. Perubahan kurikulum dan kekompleksan pengajaran yang merangkumi pelbagai perkara yang perlu diserapkan dalam proses P&P disamping penekanan kepada isi pengajaran membuatkan terdapat golongan pendidik berada dalam kekeliruan. Terdapat juga golongan pendidik yang masih terikat dengan konsep bahawa mereka perlu manyampaikan isi pengajaran tepat seperti yang tertulis dalam kurikulum dan menyediakan pelajar hanya untuk peperiksaan. Senario seperti ini merupakan faktor penghalang ke arah melahirkan pelajar yang versatil dan berkemampuan untuk mengaplikasikan pengetahuan sains dalam dunia pekerjaan sebenar yang mampu membanggakan negara agak mustahil.
Para pelajar sekolah menengah seharusnya memahami kaedah dan proses saintifik dengan mendalam bagi membolehkan mereka mengaplikasikan teori-teori saintifik dan bagaimana sains boleh mempengaruhi persekitaran. Ini bagi menyahut seruan sains dan teknologi seperti yang tertulis dalam Visi 2020.

Perkara-perkara di atas menunjukkan betapa pentingnya kajian tindakan dalam pendidikan. Kajian tindakan dalam pendidikan memfokuskan kepada individu pendidik memahami dan menilai pencapaian melalui refleksi. Mc Niff, Lomax and Whitehead (1996) menyatakan bahawa, kajian tindakan adalah signifikan dalam peningkatan professional kerana ini membenarkan pengumpulan sumber melalui kolaborasi dan penyertaan.

No comments:

Post a Comment